maksud yang akan difahami kemudian


assalamu'alaikum dan salam sejahtera

hari itu seperti biasa sahaja...

dan seperti kebiasaan juga, dia ke hospital lagi kali ini...

untuk memperbaharui jadual pengambilan ubat yang kian lali ditelan...

mutakhir melihatkan betapa sakitnya itu kian berkurang, mungkin kerana kitaran cara hidup yang kembali disusun atur...

setibanya di kaunter farmasi, resit dan kad pengambilan ubat berkala seperti biasa di alih tangan...

empunya petugas di kaunter memalit senyuman kepada pelanggannya itu...sudah polisi...

tahu akan giliran yang patut ditunggu, dia mampir ke bangku panjang bewarna biru di hadapan kaunter ubat, perlahan punggung di labuhkan...

tak lama, dia disapa...

' dah makin kurang ubat kamu ambil...lifes getting better? '

senyuman terlebih dulu diukir, seraya jawapan diucap lidah....

' masalah tetap ada '

jawapan itu dibalas juga dengan senyuman si pemakai jubah putih tadi...

' live your life to the fullest...endure, have guts to pass through it...you sure can '

empunya badan senyum sahaja....

bahunya ditepuk dan doktornya pun berlalu pergi...

* * *

seketika selepas sembang ringkasnya dengan si doktor, datang pula seorang anak kecil, terkedek kedek hampir padanya...comel irasnya, kulit putih mulus, buntang bulat matanya dengan pipi sedikit kemerahan...anak perempuan yang dilingkungan empat ke lima tahun jika dikira kira...

melihat kan si anak kecil, di tancap pula senyuman paling manis, diharap itu tidaklah menakutkan si anak kecil tadi...

senyumannya berbalas....

si anak hampir lagi, betul betul di peha kanan nya kini...

' babang, nanad nak tanya ni... '

dia cuma terkebil kebil...terlalu mesra pula tiba tiba...

lantas pandangannya dilempar ke kiri dan kanan, niat untuk mencari kalau terjumpa si ibu dan bapa, atau penjaga si anak kecil ini...

tiada reaksi yang dapat menarik perhatian nya....maka diambil keputusan untuk melayan sahaja si anak kecil...

' tanya lah, sayang '

bahasa tubuhnya kini dihadap ke anak kecil tadi, dengan duduk yang sedikit ke depan...

anak kecil tadi cuba memanjat kerusi, sedikit terkial, tapi segera dibantu dia yang digelar 'babang' tadi...

' nanad nak tanya, i love you tu apa? '

dia yang sebenarnya seperti baru sahaja melangkah ke alam kedewasaan sedikit tersentak...

tak sanggup dibiarkan anak kecil menunggu lama, segera dikarang ayat yang paling cantik untuk dihulur sebagai jawapan...

seketika, dia yang dewasa ini lantas berdiri, dihulur tangan tanda ingin mendukung si anak kecil...

si anak cuma akur, lalu disambut huluran itu...

dan sepetang itu dibawa lah dia si anak kecil itu berjalan jalan di sekitar hospital...

rangkul lembut si anak kecil pada lehernya membuatkan dia lebih selesa mendukung anak itu...

dan tidak lokek dihadiahkan pula ciuman kecil di pipi si anak tadi....


* * *

begitulah petang yang singkat....

tidak lama pun, selesai bersiar siar di taman kecil berdekatan kafeteria hospital, mereka berdua kembali ke ruang menunggu farmasi...di kerusi yang sama mereka bertemu...

' nanad nak tahu i love you tu apa? '

' iyelah...lama nanad tunggu babang tak jawab '

sedikit pelat, tetap telah comel si anak...

dia lantas meletakkan kembali si anak ke bangku biru, dan terus dipalingkan badan pula untuk pergi...

langkah dipacu pergi dari anak itu tanpa menoleh pun, tanpa ulasan apa pun....

yang terdengarnya dia cuma jeritan halus si anak tadi, dan derap kaki yang rapat selangnya mengejar dia yang kiranya semakin kejauhan

anak itu memeluk betis kirinya...

' babang nak pergi mana?? '

air mata tiris dari anak kecil itu tertampak mengalir olehnya...

dia lantas berpusing kembali, menghadap anak kecil comel itu, direndahkan badannya, supaya mudah ditatap lembut wajah anak kecil itu...

' nanad taknak babang pergi? '

' mestilah! '

 ' jadi, nanad kena cakap i love you dekat babang lah '

sekali lagi, senyuman diberikan...

anak kecil cuma terkebil, dan diucaplah juga ayat tadi seraya pelukan di leher nya...

dari kejauhan, kelihatan seorang jururawat muda datang, sedikit gopoh, berlari lari anak...

' abang nya nadiya ke? '


* * *

dia sudah di atas motosikalnya....

dengan bungkusan ubat yang telah sedia di bakul, sedang otaknya kembali terngiang cerita si jururawat tadi....

~

' nadiya pesakit acute lymphoblastic leukemia...baru saja dimasukkan ke wad kanak kanak tiga hari lepas... '

dia yang dari tadi mendengar sahaja, tiada pula menyusun ayat untuk dikeluarkan...

perlahan, jururawat tadi menyuakan sekeping foto padanya...

' itu abang nadiya...dia baru sahaja meninggal, tiga hari yang lepas juga...accident waktu nak ke kerja...agaknya terperanjat ke apa, sakit terus budak tu...kesian...gambar ni selalu ada dengan dia, ingatkan dia pergi tak jauh tadi... '

dia masih lagi membatu...

' saya ingatkan nadiya ada abang nya yang lain...maaflah bertanya tadi, muka awak iras iras abangnya ni...'

itu lah punca dia mambatu sedari tadi

~

disarung terus topi keledarnya, dihidupkan enjin, dan segera dipulas deras pemulas minyak motosikalnya...

" betapa kehidupan ini ditetapkan Dia penuh cabaran dan coraknya, berbeza beza jalan cerita untuk berbeza beza jiwa yang ada...tawa, tangis, sedih, ceria, sakit, dihikmahkan pada mereka yang dikehendakiNya, untuk diiktibar mereka yang terbuka pintu hatinya... "

dalam deras motosikalnya dipacu, hatinya terdetik...

masalah, sakit si anak kecil itu besar, dengan kesedihan yang jika dapat terlihat, tidak mampu ditampung tubuh kecil itu....sedang dia itu pula langkahnya baru sahaja di kedewasaan, dengan masalah yang jika direnung renung, cuma apalah besarnya...

anak itu punya kekuatan, yang dia sendiri kagumi jauh dalam hatinya...

" soalan itu Nadiya, jawapannya akan kamu faham nanti...jika tiada dibumi Tuhan ini kesempatannya, di sana itu pasti...abang doakan kamu... "


Allah jualah yang maha pengasih lagi maha penyayang


till then, assalamu'alaikum and have a nice day



Comments

Post a Comment