Larian




Greetings



~


Hati terlalu gusar dan kacau petang itu. Terlalu banyak kesakitan dan kerisauan datang menyerang benak otak. Dan keberadaan aku di rumah sewa, berseorangan, buat aku bertambah bilau. Ada kebingitan dalam kesunyian yang menemani aku waktu itu.

Cuti semester kali ini, terisinya masa sering dengan sugul. Tekanan singgah di segenap arah. Kalau tak kerana iman, lama sudah aku mengalah.

Tubuh cuma terbaring, mengiring di tilam. Tangan kanan menakup sebelah kepala, sedang kaki keduanya mengerekot, seakan kesejukan. Biasanya aku tidak begitu. Cuma petang itu, aku terasa mahu berpeluk tubuh. Sakit,

Mata yang tadi terpejam, aku celikkan. Terlempar pandangan ke rak kasut di seberang pintu. Timbul niat ingin berlari. Dalam paksa, aku bangkit. Kesunyian ini bakal memarut labih banyak luka, dengan mata pisaunya adalah fikiran dan kenangan di lohong akal. Aku mahu keluar.


~


Aku cuma berjalan di laluan itu. Sekali sekala beberapa tubuh sihat melintasi aku depan dan belakang. Pemandangan cantik di tasik rekreasi itu aku isi di ruang mata. Cuba membawa juga ia masuk ke benak kepala. Biar yang sesak di fikiran tadi jadi berganti.

Dari langkah yang lesu, aku kayuhkan langkah yang sedikit laju. Berlari lari anak aku menapak di trek larian. dan dari larian anak, aku mulai memecut. Langkah semakin besar dan panjang, pantas. Letih, tapi sengaja diterukan juga, Biarlah pitam pun, aku tak kisah.

Guruh mulai bergendang di angkasa. Titis titis hujan lantas tumpah dari perut si awan. Namun, langkah aku tetap tak mati. 

Petir juga turut perang. Kombinasi padat rahmat dan peringatan. Kali ini larian aku kembali menjadi tapak jalan. Dan hala langkah aku kini adalah untuk mencari teduhan. 
Baru kini terasa letih.


Aku berdiri di bawah atap sebuah kedai makan yang tidak dibuka. Kesejukan dan kembali berpeluk tubuh, Kali ini ia menusuk tulang. Di suatu sudut, terlihat aku seorang tua, sedang duduk tenang memegang tongkat, bertopi dan berkot labuh. Melihatkan cuma aku dan beliau di situ, aku langsung hampir kepadanya. 

'Pak Cik.'

Teguran aku bersulam senyuman dan sedikit tunduk.

'Ya. Duduk?'

Pelawaan yang ringkas dan cool.

'Terima kasih, PakCik.'

Kerusi kedai makan aku tarik perlahan. Dan duduk aku berlabuh dengan basah kuyup dek hujan.

Wajah tua dihadapan aku itu sungguh tenang parasnya. Aku kira sedang di awal 70-an, namun masih sihat dan sirna raut itu. Malah tersenyum menerima kehadiran aku yang menegurnya sebentar baharu tadi. Perlahan topi vintage beliau di turunkan dari rambut. Tongkatnya mulai sandar di sisi meja.

Dan beliau membuka bicara.

'Bersungguhnya joging. Sampai basah kuyup haa.'

Aku ketawa kecil, dan mengangguk.

'Dah lama tak berpeluh, Pak Cik. Sekali ni joging, basah kuyup terus.'

Dan kali itu, giliran beliau pula yang tertawa.

Dengan permulaan itu, perbualan kami seterusnya menjadi mesra.

Setelah lama bertukar tukar dialog, bercerita soal latar dan peribadi hidup, sembang kami lama kelamaan menjadi semakin dalam. Setelah seketika cumalah baru kami saling diam. Dan renungan si tua kembali ke pemandangan rahmat di luar kedai. Kelebatan hujan masih begitu juga, mengaburkan kejauhan pemandangan. Aku ijut serta, melayan pemandangan yang dilempar si tua.

'Kamu..sebenarnya sedang amarah bukan?'

Keheningan sebentar tadi, pecah. Dan aku kembali mengalihkan pandangan kepada beliau.

'Ada di dalam hatimu, sesuatu yang lain dari kebanyakan anak muda yang Pak Cik jumpa. Dan apa yang kamu ada hari ini, di mana kamu berdiri, sentiasa ada cerita yang lebih besar dihadapannya. Jangan diniat untuk menyaingi harta dia yang kamu tahu. Jangan dibuat kekayaan itu tuan kamu, kerana itu akan buat kamu hilang apa yang kamu ada di dalam sana. Paksa dendam itu keluar. Sudah kamu beritahu pada Pak Cik bagaimana cara kamu berfikir, dan dari situ Pak Cik tahu bagaimana hatimu. Simpan ia untuk masa hadapan, kerana bahagia di hadapan sana, layak hanya untuk orang yang melepasi ujian, bukan untuk yang mengalah, bukan juga untuk yang berpaling. Ujian, cu, '

Aku menelan air liur. Terkedu.

Hujan kembali rintik seperti mula. Mendung kian berlalu. Dan bingit titis hujan jatuh ke muka dunia mulai padam.

'Kamu adalah lebih dari ini. Fikirkan tentang itu.'

Ayat itu buat aku lebih bungkam. Diam.

Dan waktu itu juga, hadir sebuah Mercedes Benz di perkarangan kedai. Dari perutnya keluar seorang lelaki kurus berpayung, menghampiri tempat kami berbual.

Si tua perlahan bangun, melekap kembali topi, mencapai tongkatnya.

Aku mengiring langkah pulangnya, dengan satu permintaan akhir.


'Do'akan saya, Pak Cik.'


Dan si tua melempar cuma senyuman.

Sedang aku, menyambung titis hujan, menerusi mata yang berkaca, terselindung dibalik kebasahan hujan dari Ilahi.


~


Di akhirat nanti, aku akan tahu juga, siapa sebenarnya yang tancap bibirnya mendo'akan aku di hari hari nya, dalam sujud sujudnya.

Sehingga hari itu datang, sementara aku masih berpijak, aku berterima kasih.

Jika tiada balas baiknya dari aku, percayalah, Allah akan menurunkan kebaikan pula kepada kalian.





Terima Kasih.






Comments