terima kasih bersama




Arau sedikit redup petang itu. Baru sahaja awannya menangis tengahari tadi. Cuaca yang menyelesakan. 

Perut terasa lapar. Ber-ekperimentasi di makmal selama dua jam setengah selalu buat aku leka pada perut yang tak di isi sedari pagi. Untung sudah tiada kelas lain. Maka sedikit bersenang aku petang itu.

Berkira kira ingin ke Kafe Damai. Tidak jauh pun dari Makmal Kimia 4. Lalu aku menyusur denai bersimen di sebelah kawasan Bilik Kuliah. Sedikit perlahan. Sengaja malas.

Belum pun menuruni tangga, aku mengintai intai. Ah, ramai orang. Entah kenapa terasa berat pula untuk meneruskan langkah. Langsung aku berpatah balik, terus ke parkir motor di sebelah atas berhampiran kawasan dewan. 

Ramai juga yang sedang ingin pulang. Ramai di mana mana. Norma varsiti. Kunci motor ku capai, dan segera helmet disarung. Seketika kemudian, aku keluar dari pekarangan kampus.

Sedang mata memerhati jalan, otak ligat menggali peta. Peta gerai makan. Perut kosong makin mendesak. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke Pauh. Mencuba nasib jika ada kuih atau kudapan yang boleh dibungkus pulang ke rumah sewa.

Ternyata Pauh tak menghampakan aku. Gerai minum petang sentiasa ada. Pisang goreng, kuih muih, nasi lemak bungkus, cempedak goreng. Selalu ada. Aku tersenyum.

Sengaja aku lajakkan sedikit tunggangan ke Pekan Pauh. Di situ ada sedikit meriahnya. Dapatlah juga memilih kuih. Sampai di hadapan sebuah gerai, moto diparkir, dan aku menghampiri kuih muih yang dijual.

Banyak. Tak reti pilih jadinya. Nampak karipap, aku ambil karipap. Nampak lepat ubi, aku ambil lepat ubi. Nampak pau sambal, aku ambil pau sambal. Nampak bingka, aku ambil bingka. Lapar betul rasanya. Sambil memilih kuih, aku ditanya makcik penjual: 'Bungkus air dik?' Aku tersenyum, lantas menjawab: 'Teh ais, makcik. dua bungkus.' Makcik itu berpaling, dan melaung pesanan aku ke bahagian belakang gerai.

Belum pun siap air bungkusnya, langsung aku ajukan pertanyaan; 'Berapa semua, makcik?' 
Senyuman masih bersisa.

'Teh ais nya dua ya? Semua sekali, lima ringgit empat.' Makcik itu menjawab. Juga tersenyum.

Dompet lantas ku buka, sehelai not hijau dan biru kutarik pantas. Segera ia beralih ke tangan makcik penjual kuih tadi. Not kertas diterima dan makcik itu segera mencari baki.

Di saat makcik ingin memulangkan baki wang kepada aku yang sedang sedia menerima, kami seraya mengucapkan: 


"Terima kasih."


Hampir serentak.

Aku tersenyum. Makcik itu tersenyum.

Dan beliau menyambung; 'Makcik yang patut ucap terima kasih. Kamu beli kuih di kedai makcik. Dah bertambah rezeki makcik hari ni.'

'Saya yang patut cakap terima kasih pada makcik. Sebab makcik jual kuih di sini. Dapat la saya isi perut.' aku membalas.

Makcik kemudiannya terus ketawa. Ketawanya disambut aku.

Seraya itu, bungkusan Teh ais sampai, dan diserahkan ke tangan aku.

Langsung, aku terus meminta diri. Sedikit malu kerana pembeli lain mula memberi perhatian pada perbualan kami. Motor ku hidupkan dan segera aku pacu untuk pulang ke rumah sewa.

Dalam perjalanan pulang, aku tersenyum lagi dan berfikir.


"Rezeki dari Allah. Tapi sampainya rezeki aku itu dengan di'wakil'kan kepada orang lain, dan 'wakil' itu boleh jadi sesiapa di sekeliling aku. Hikmahnya, mungkin supaya aku jadi lebih tahu berbuat baik kembali pada mereka yang juga ada disekeliling aku."


Dari Allah, melalui Makcik penjual kuih, kepada aku.

Jadi, aku berterima kasih kepada Makcik itu, dan sudah tentu, pertama tamanya kepada Allah.



Alhamdulillah.



Apa yang buat aku gembira, adalah senyuman makcik tadi. Dia menghargai pelanggannya. Entah kenapa, rasa seronok.

Pulang ke rumah, Luqman, Hazrul, Wano dan Isa sedang berbaring di hadapan televisyen.

'Uii. Awat hang hensem hari ni Yad?' ujar Luqman.

'Sebab hang nak ayaq kat tangan aku ni...' aku menjawab. Dia ketawa.

Plastik air beralih tangan.

Dalam hati aku mulai berniat;



'Esok lusa, aku beli di gerai makcik tu sajalah. Hahaha.'




:)






Comments

  1. Assalamualaikum. comeback chukahaeyo. it's been a really loooong time.haha.Thanks for this entry though. Keep inspiring people. Dah lama tak komen kat sini so dah macam tak tau nak kata apa.haha.And yeah good luck for your degree. 1st class degree. InsyaALLAH. May ALLAH bless.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wa'alaikumussalam.

      InShaaAllah i will. thanks for keeping up. and thanks for the prayings too :)

      Delete
  2. power yad power . hehe

    ReplyDelete

Post a Comment