tidur




Hari sudah menjengah. Sedikit sahaja lagi tiba tengah hari. Dia masih layu berbaring di katil. Sedar sebenarnya. Malas. 

Malas itu sengaja dibela. Sengaja tak dicarinya daya. Sengaja. Jika diikutkan hati, mahu benar dia terus tidur dan tidur. Pernah dia dengar, kata rambang orang. Kata kononnya, kalau orang rindu kita, maka orang itu muncullah dalam tidur kita. Dalam mimpi kita.

Entah mana warasnya waktu itu, bait tak berasas pun dirasanya benar. Maka berusaha dia ke arah tidur, lebih dari usahanya menghadap dirinya sendiri. Tidur. Sesudah tidur, tidur lagi. Sesekali cumanya bangkit untuk bersolat.

Makan tak berjaga. Kerja jadi gendala. Tanggungjawab tinggal biar. Rupa hanya ada. Tak terurus.

Dia tak bersedia sebenarnya. Untuk terima putusnya tali itu. Dia mahu diskusi. Mahu bicara jelas, sebab atau apa jua kenapa dan kerananya dia ditinggal seorang. 

Jadi, ambilnya solusi mudah. Tidur.

Harapan, kononnya, dapat ketemu si dia yang memutuskan dalam lena panjangnya itu. Maka kononnya juga, ingin dia gembira menatap cinta itu selama tidurnya. Dia rindu.

Kosong. Gelap.

Celik. Kabur. Apa satu pun tak teringat pada mimpinya. Adakah? Datangkah?
Kalau datang, pasti ingat. Tiada. Maka, jaganya dari lena, cuma untuk mengeluh.

Saban hari begitulah. Takrif jasad yang mati itu, kena betul dengan nya. 

Tidur masih bersambung, dan terus.


~


Sunyi. Dia terjaga. 

Perlahan, diangkat kepala. Laungan azan subuh sayup ke telinga, tak lama dan usai. Sunyi. 

Dia cuma duduk di pangkin katil. Anak mata perlahan sorot pada kondisi bilik. Macam punah terkena bala. Bertebar.

Dia diam. Bisu. Sepoi.

Dari mana dingin itu datang, buat dia sayu. Mata mulai bergenang. Tidurnya tadi, isinya kosong. Setelah sekian lama, masih kosong. Tiada jua cintanya itu bertandang.

Dari sayu, jadi tangis. Lembik. Diseranahnya diri sendiri. Lembik.

Subuh itu, dia berdiri. Seupaya dayanya. Dihadapan cermin, terlihat rupa serabai. Itu dia. Dengan air matanya, dengan comotnya, dengan tak tersisirnya. Hodoh.


" Kau tak patut begini. Ini bukan kau. Kau benarkan dia buat kau jadi begini. Ini bukan kau "


Diraup kedua telapak tangan ke muka. Nafas dihela kuat. Dilepas kuat. 


~


Terasa seperti rahmat, bila curahan terik sinar matahari lekat ke kulitnya. Ini realiti. Dia tersenyum. Banyak warna pada realiti, bodohnya dia terkejar kejar pula gelap dalam mimpi.  

Dia putuskan untuk berhenti. Berhenti bermimpi. 

Sudah terlalu lama. 

Dan kerana si cinta tidak juga hadir dalam lena, maka itulah, baru diketahuinya. Rupanya dia takpun dirindui cintanya itu. Dia cuma berhajat seorang. Dia cuma bermimpi. Dia cuma serpihan yang ingin dilupakan. Dia percaya itu.

Dia tersenyum lagi. Banyak benar yang dah terbazir. Untuk bermimpi seperti yang dia inginkan. Sia-sia. 

Biarlah. Kini jangankan mimpi, bila masanya, mahu juga di mana pijaknya, tak berkisah sudah. Biarlah.

Usai sujud, dia berdo'a. Meminta. 

Usai berdo'a, diangkatnya muka. Bisik sendiri...



" Masa untuk tak lena lagi "



Bangunnya bingkas selepas itu. Realiti menantinya. Dengan warna warna untuk mencerahkan yang gelap.

Dia bersedia. Kini melangkah. Kehadapan.



:)


Comments

Post a Comment